Mineral Ini Membantu Mengelak Obesiti

Mineral adalah nutrisi yang penting kepada badan. Kekurangannya boleh menjejaskan kesihatan. Mineral perlu bagi mengangkut oksigen, metabolisma tenaga, perlindungan sel badan dan saraf. Ia juga penting dalam proses pencernaan dan melindungi badan dari toksik dan keracunan logam berat.

 

Kromium adalah salah satu mineral penting yang wujud dalam pelbagai bentuk. Walaupun kromium sering dikaitkan dengan bahan yang berbahaya dalam pencemaran industri, ramai yang tidak tahu bahawa kromium juga diperlukan oleh badan agar badan dapat bekerja dengan baik.

 

Ia dipanggil mineral penting kerana terlibat dalam beberapa proses penting didalam badan seperti proses penyerapan gula. Mineral kromium dalam bentuk picolinate didapati mudah diserap oleh sel-sel tubuh dan membantu mencegah ketagihan gula. Jika dilihat kajian yang ada, kromium juga terbukti dapat membantu masalah rintangan insulin.

 

Tetapi bagaimana pula menyelesaikan rintangan insulin boleh membantu dengan masalah obesiti?

Rintangan insulin adalah keadaan di mana terlalu banyak insulin dalam darah yang boleh menyebabkan keadaan pre-diabetes dan salah satu penyebabnya adalah kerana kekurangan kromium di dalam diet.

 

Makanan yang dicerna akan menghasilkan glukosa dan akan menjadi sumber tenaga untuk semua sel di dalam badan. Tetapi, rintangan insulin boleh menyebabkan penyerapan glukosa terganggu dan hasilnya, banyak gula berkeliaran di dalam darah dan tidak dapat diserap masuk ke dalam sel. Perkara ini akan terus berlaku sebagai satu kitaran yang tidak berhenti.

Diet yang sihat boleh menjadi tidak bermakna jika badan tidak dapat menggunakan sebaiknya tenaga yang dihasilkan. Insulin yang berlebihan pula akan membuat tugasan lain iaitu menyimpan gula yang berlebihan sebagai lemak. Semakin banyak insulin di dalam badan, semakin berterusanlah badan menghasilkan sel lemak baru.

 

Pengambilan kromium yang mencukupi boleh mengelakkan kitaran ini. Jika kromium di dalam badan mencukupi, insulin boleh membuka pintu sel dan kromium akan membantu glukosa untuk masuk ke dalam sel seperti sepatutnya.